Sunday, May 2, 2010

Koenzim CoQ10 untuk kesihatan jantung

Mingguan Malaysia 2 Mei 2010 / 18 Jamadil Awal 1431

SAYA mengambil anti kolesterol untuk mengawal peningkatan tahap kolesterol. Ahli farmasi ada mencadangkan pengambil suplemen koenzim CoQ10 yang dikatakan baik untuk jantung. Penerangan lanjut amat saya perlukan.

JAWAPAN,

Terdapat bukti menunjukkan beberapa ubat kolesterol lazim boleh menyebabkan pengurangan koenzim Q10 (CoQ10) dalam badan. Penghalang HMG-CoA reduktase digunakan untuk merawat kolesterol darah yang tinggi dengan menghalang biosintesis kolesterol dan CoQ10. Dengan itu, penurunan paras CoQ10 adalah hasil daripada perkongsian laluan biosintesis CoQ-10 dan kolesterol.

Koenzim Q-10 adalah penting untuk kesihatan jantung. Kepekatan tertingginya terdapat pada jantung, di mana tindakannya dalam mitokondria adalah sangat penting terhadap fungsi rangkaian otot jantung yang sihat. Kekurangan koenzim Q10 dalam badan boleh menyebabkan keletihan otot.

Kekurangan CoQ10 akan melemahkan jantung dan mengakibatkan kegagalan jantung. Dengan itu, melengkapkan diet dengan suplemen koenzim Q10 dapat mengekalkan zat-zat dalam badan, bukan sahaja untuk kesihatan jantung, malah dapat mengekalkan tekanan darah yang sihat, tahap tenaga dan kesihatan umum.

Jika anda berada dalam terapi statin, suplemen koenzim Q10 adalah disyorkan untuk membantu memulihkan kekurangannya. Cubalah koenzim Q10 50mg dalam bentuk minyak soya yang dapat meningkatkan penyerapan CoQ10 dan bertindak sebagai pembawa nutrien.

Sebahagian besar masalah kardiovaskular (CVD) boleh dicegah dan saranan terbaik adalah bermula pada usia muda. Mengetahui semua faktor risiko dan mengubah gaya hidup serta tabiat pemakanan boleh menyelamatkan nyawa anda. Amalkan diet seimbang, gabungkan pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan ke dalam diet serta bersenam adalah cara-cara sihat untuk mengurangkan risiko CVD. Kurangkan pengambilan alkohol dan berhenti merokok juga boleh melindungi jantung dan sistem peredaran darah anda daripada kemusnahan akibat radikal bebas.

No comments:

Post a Comment